Akta gaji minimum tambah pengangguran rakyat miskin
2010/05/21
KEMENTERIAN Sumber Manusia bercadang melaksanakan akta gaji minimum sebagai alat penghapus kemiskinan. Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam mengumumkan kementeriannya sedang mengkaji kemungkinan impak pelaksanaan akta itu. Saya menolak penggunaan akta gaji minimum untuk menghapuskan kemiskinan di negara ini. Memang diakui di kalangan ahli ekonomi, gaji minimum mengakibatkan pengangguran di kalangan rakyat miskin. Malah inilah yang diajar dalam buku teks ekonomi di universiti. Tiada guna kalau menaikkan gaji, tetapi pada masa sama memusnahkan peluang pekerjaan.Jika dilihat pada demografi lapisan masyarakat miskin, kita dapati ada corak tertentu. Kebiasaannya mereka yang miskin berpendidikan rendah, cacat anggota, menanggung keluarga besar dan terdiri daripada kaum tertentu.Apabila menyebut kaum tertentu saya merujuk hakikat ada kaum yang memiliki lebih ramai orang miskin berbanding kaum lain.
Kesan gaji minimum tidak terhenti pada kenaikan kadar pengangguran semata mata. Ia memberi kesan lebih mendalam daripada itu.
Melihat sejarah Afrika Selatan dan Amerika Syarikat, mereka yang berketurunan Afrika akan menawarkan gaji lebih rendah bagi mendapat peluang kerja terhad.
Pekerja berketurunan Afrika menghadapi diskriminasi perkauman di pasaran kerana ramai majikan dan pemilik perniagaan berkulit putih. Dengan menawarkan gaji lebih rendah daripada kadar yang diminta pekerja kulit putih, pekerja kulit hitam dapat mengatasi diskriminasi kaum dan memiliki peluang pekerjaan.
Pekerja kulit hitam mudah mendapat kerja kerana lebih murah untuk menggajikan mereka berbanding mengupah penduduk kulit putih. Ia menjadi kelebihan pekerja kulit hitam. Ini adalah situasi sebelum akta gaji minimum dilaksanakan.
Kesatuan sekerja yang dimonopoli pekerja kulit putih mula mendesak kerajaan memperkenalkan gaji minimum. Kononnya untuk membantu kulit hitam yang lebih miskin. Namun, niat jahat di sebalik permintaan kesatuan sekerja kulit putih itu ialah merampas pekerjaan daripada orang kulit hitam.
Akta gaji minimum memastikan pekerja kulit hitam tidak boleh bekerja dengan gaji lebih rendah daripada gaji pekerja kulit putih. Oleh kerana tiada beza dalam kos menggaji pekerja kulit hitam atau pekerja kulit putih, majikan yang majoritinya berkulit putih pasti akan mengutamakan kaumnya.
Akta gaji minimum menghapuskan kelebihan pekerja kulit hitam untuk bersaing di pasaran. Pengangguran di kalangan mereka meningkat dan hubungan antara kaum bertambah buruk.
Senario sama juga boleh berlaku di Malaysia dengan majoriti pekerja terdiri daripada kaum tertentu, manakala majoriti majikan juga kaum tertentu. Saya khuatir gaji minimum menggalakkan diskriminasi kaum di dalam pasaran kerja dan memburukkan hubungan antara kaum di Malaysia.
Saya menyeru rakyat Malaysia menolak pelaksanaan gaji minimum bagi mengurangkan kadar pengangguran di kalangan orang miskin dan menjaga perpaduan antara rakyat Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum.
AFIF ABDULLAH,
Felo Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment