Sunday, August 15, 2010

34% pekerja Malaysia tahap miskin

Kajian Kementerian Sumber Manusia mengenai gaji pekerja dalam negara mendapati bahawa hampir 34 peratus daripada kira-kira 1.3 juta pekerja memperolehi pendapatan bulanan bawah RM700. 

Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam berkata kajian Perolehan Pekerjaan Nasional 2009 memberi penekanan terhadap soal pentingnya tahap gaji ini dinaikkan, terutama selepas kementerian itu mendapati bahawa sukar untuk menyerahkan soal gaji pekerja kepada kuasa pasaran semata-mata.

Beliau turut merujuk kepada kajian Bank Dunia yang mendapati bahawa pergerakan gaji di Malaysia hanya mencatatkan pertumbuhan 2.6 peratus setiap tahun sejak 10 tahun lepas berbanding dengan peningkatan kos hidup dalam tempoh itu.

“Kerajaan pada dasarnya bersetuju supaya gaji ini perlu dinaikkan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Garis kemiskinan dalam negara ketika ini ditetapkan pada tahap pendapatan bawah RM720 sebulan.

Subramaniam berkata kebanjiran pekerja asing adalah antara beberapa sebab kenapa gaji pekerja tidak meningkat dengan ketara sejak 10 tahun lepas.

“Kerja-kerja yang memerlukan kemahiran tinggi pasti menuntut gaji yang tinggi, namun dalam banyak keadaan para majikan tidak membayar gaji berdasarkan kemahiran, sebaliknya bergantung kepada pekerja asing yang tidak berkemahiran,” katanya.

Semalam, Subramaniam selepas menutup satu bengkel mengenai gaji minimum berkata beliau akan membentang cadangan Kementerian Sumber Manusia berhubung gaji minimum nasional kepada Kabinet hujung Oktober ini.

Pelbagai pandangan berkaitan gaji minimum dibangkitkan dalam bengkel itu, dengan ada sesetengahnya merasakan bahawa perlaksanaannya akan memberi kesan terhadap daya saing, perkembangan gaji di samping tidak dapat merapatkan jurang perbezaan antara yang kaya dan miskin dalam negara, manakala di pihak lain pula merasakan bahawa langkah itu akan meningkatkan produktiviti di samping member keadilan buat pekerja.

Dr Subramaniam berkata sekiranya kerajaan bersetuju terhadap cadangan gaji minimum itu, satu peruntukan rang undang-undang yang baru akan diperkenalkan bagi meliputi semua aspek liputan, pihak berkuasa, badan penasihat, perlaksanaan, dan lain-lain lagi.

“Satu Majlis Nasional berhubung gaji minimum juga akan dibentuk bagi memastikan pelaksanaan gaji minimum yang lancar,” katanya.

Kementerian Sumber Manusia dijangka menyiapkan laporannya berhubung gaji minimum nasional itu dalam masa empat bulan sebelum ia dapat dibentangkan ke kabinet.

Dr Subramaniam berkata pihak kementerian masih belum memutuskan sekiranya perlu diwujudkan mekanisme gaji minimum nasional, wilayah atau sektor.

“Ia terpulang kepada Kabinet untuk memberikan kami hala tujunya,” katanya dan menambah bahawa soal mengenai kadar gaji minimum juga perlu dikaji.

Satu pungutan suara yang dilaksanakan oleh kementerian itu bagi mendapatkan maklum balas orang ramai berhubung gaji minimum menunjukkan bahawa daripada 434 responden, 76 peratus bersetuju supaya kerajaan melaksanakan gaji minimum buat semua sektor. — Bernama

August 5th, 2010 

Thursday, May 20, 2010

Akta gaji minimum tambah pengangguran rakyat miskin


2010/05/21

KEMENTERIAN Sumber Manusia bercadang melaksanakan akta gaji minimum sebagai alat penghapus kemiskinan. Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam mengumumkan kementeriannya sedang mengkaji kemungkinan impak pelaksanaan akta itu.

Saya menolak penggunaan akta gaji minimum untuk menghapuskan kemiskinan di negara ini. Memang diakui di kalangan ahli ekonomi, gaji minimum mengakibatkan pengangguran di kalangan rakyat miskin. Malah inilah yang diajar dalam buku teks ekonomi di universiti. Tiada guna kalau menaikkan gaji, tetapi pada masa sama memusnahkan peluang pekerjaan.
Jika dilihat pada demografi lapisan masyarakat miskin, kita dapati ada corak tertentu. Kebiasaannya mereka yang miskin berpendidikan rendah, cacat anggota, menanggung keluarga besar dan terdiri daripada kaum tertentu.
Apabila menyebut kaum tertentu saya merujuk hakikat ada kaum yang memiliki lebih ramai orang miskin berbanding kaum lain.

Kesan gaji minimum tidak terhenti pada kenaikan kadar pengangguran semata mata. Ia memberi kesan lebih mendalam daripada itu.

Melihat sejarah Afrika Selatan dan Amerika Syarikat, mereka yang berketurunan Afrika akan menawarkan gaji lebih rendah bagi mendapat peluang kerja terhad.

Pekerja berketurunan Afrika menghadapi diskriminasi perkauman di pasaran kerana ramai majikan dan pemilik perniagaan berkulit putih. Dengan menawarkan gaji lebih rendah daripada kadar yang diminta pekerja kulit putih, pekerja kulit hitam dapat mengatasi diskriminasi kaum dan memiliki peluang pekerjaan.
Pekerja kulit hitam mudah mendapat kerja kerana lebih murah untuk menggajikan mereka berbanding mengupah penduduk kulit putih. Ia menjadi kelebihan pekerja kulit hitam. Ini adalah situasi sebelum akta gaji minimum dilaksanakan.

Kesatuan sekerja yang dimonopoli pekerja kulit putih mula mendesak kerajaan memperkenalkan gaji minimum. Kononnya untuk membantu kulit hitam yang lebih miskin. Namun, niat jahat di sebalik permintaan kesatuan sekerja kulit putih itu ialah merampas pekerjaan daripada orang kulit hitam.

Akta gaji minimum memastikan pekerja kulit hitam tidak boleh bekerja dengan gaji lebih rendah daripada gaji pekerja kulit putih. Oleh kerana tiada beza dalam kos menggaji pekerja kulit hitam atau pekerja kulit putih, majikan yang majoritinya berkulit putih pasti akan mengutamakan kaumnya.

Akta gaji minimum menghapuskan kelebihan pekerja kulit hitam untuk bersaing di pasaran. Pengangguran di kalangan mereka meningkat dan hubungan antara kaum bertambah buruk.

Senario sama juga boleh berlaku di Malaysia dengan majoriti pekerja terdiri daripada kaum tertentu, manakala majoriti majikan juga kaum tertentu. Saya khuatir gaji minimum menggalakkan diskriminasi kaum di dalam pasaran kerja dan memburukkan hubungan antara kaum di Malaysia.

Saya menyeru rakyat Malaysia menolak pelaksanaan gaji minimum bagi mengurangkan kadar pengangguran di kalangan orang miskin dan menjaga perpaduan antara rakyat Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum.

AFIF ABDULLAH,
Felo Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) Kuala Lumpur.

Tuesday, May 11, 2010

Gaji minimum bahaya untuk golongan miskin dan orang kampung

RENCANA


Baru-baru ini saya bertemu dengan dua pegawai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membincangkan mengenai caruman KWSP petugas di IDEAS. Saya memuji cara kerja para pegawai itu. Mereka sabar dan bersungguh-sungguh cuba membantu saya dengan nasihat-nasihat yang berguna.

Peruntukan undang-undang menetapkan bahawa setiap majikan wajib membayar caruman KWSP sebanyak 12 peratus sebagai tabungan pencen pekerja. Ada beberapa pengecualian, tetapi secara umum, itulah peraturannya. Dua belas peratus sebenarnya merupakan satu jumlah yang besar, terutama bagi organisasi yang baru bermula seperti kami di IDEAS.

Semasa saya berurusan dengan KWSP, terlintas juga dalam fikiran bahawa mungkin ada petugas saya yang terpaksa ditamatkan kontrak kerana kami tidak mampu membayar caruman mereka. Mungkin ada yang mungkin terpaksa diturunkan gaji. Malahan, saya mungkin terpaksa menawarkan gaji yang lebih rendah kepada petugas baru kerana saya tidak mampu membayar caruman KWSP yang tinggi.

Sebagai contoh, katakanlah jika ada petugas IDEAS yang menerima bayaran RM5,000 sebulan. Kos kepada syarikat, jika dicampurkan caruman KWSP, ialah RM5,600. Kos tambahan RM600 itu adalah satu kos yang tinggi, yang sebenarnya boleh saya gunakan untuk membayar gaji pekerja sambilan yang lain.

Tetapi, oleh kerana saya diwajibkan untuk membayar caruman KWSP, maka saya mungkin terpaksa menamatkan kontrak pekerja sambilan itu. Sedangkan pekerja sambilan yang bergaji rendah itu boleh jadi amat bergantung harap dengan bayaran upah dari saya untuk menyara keluarganya.

Dalam kes ini, semata-mata untuk membayar caruman KWSP seorang pekerja kaya berpendapatan tinggi, saya terpaksa memberhentikan seorang pekerja miskin berpendapatan rendah. Saya tiada pilihan lain kerana hasil kerja pekerja profesional itulah yang menjana pendapatan untuk organisasi kami. Untuk mengekalkan dia maka saya mesti membayar jumlah yang dia mahu.

Ironis sekali apabila undang-undang KWSP yang asalnya bertujuan mahu memastikan rakyat Malaysia ada tabungan pencen akhirnya mengakibatkan seorang pekerja miskin dibuang kerja. Dalam bidang sains sosial, inilah yang dikenali sebagai hukum akibat yang tidak dijangka (law of unintended consequences).

Situasi ini menyebabkan saya bimbang apabila Kementerian Sumber Manusia mahu menetapkan kenaikan gaji para pengawal keselamatan dengan kadar yang agak tinggi. Ini merupakan satu bentuk gaji minimum yang ditetapkan oleh undang-undang.

Hakikatnya ini sama dengan caruman KWSP yang kadarnya turut ditetapkan oleh kerajaan melalui undang-undang. Ada kesan negatif yang tidak dijangka yang akan berlaku, walaupun niat asalnya adalah baik. Bagi saya ini juga bertentangan dengan aspirasi Model Ekonomi Baru yang diumumkan oleh Perdana Menteri.

Dalam Bab Enam laporan Model Ekonomi Baru (MEB) yang dikeluarkan oleh Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN), dengan terang dinyatakan bahawa MPEN tidak bersetuju dengan cadangan mewujudkan gaji minimum kerana ia boleh mengurangkan peluang pekerjaan di Malaysia.

Pandangan MPEN ini tepat sekali. Maka janganlah pula ada kementerian yang membelakangkan semangat MEB yang seperti yang dinyatakan dalam laporan itu.

Mungkin ada yang mempersoalkan bagaimana gaji minimum boleh mengurang peluang pekerjaan. Pengalaman IDEAS yang saya ceritakan di atas memberi jawapan yang jelas. Jika gaji minimum diwujudkan, maka akan ada golongan yang nanti terpaksa diberhentikan atau tidak diambil bekerja demi membolehkan syarikat menampung kos bayaran gaji atau caruman pekerja lain yang ditetapkan oleh undang-undang.

Biasanya golongan yang akan rugi ialah para pekerja berpendapatan rendah kerana mereka lebih mudah diganti berbanding golongan profesional berpendapatan tinggi. Golongan pengawal keselamatan, tukang sapu sampah, tukang kebun, buruh kasar, jurutol, dan lain- lain harus cemas dengan cadangan gaji minimum. Ini kerana gaji minimum akan menghasilkan kezaliman kepada golongan yang paling memerlukan pertolongan.

Saya sebenarnya mempunyai pengalaman peribadi dalam hal ini. Saya pernah bekerja sebagai pembersih tandas hospital semasa belajar di United Kingdom. Apabila kerajaan Britain memperkenalkan gaji minimum pada tahun 1999, saya dibuang kerja kerana syarikat tidak lagi mampu membayar upah semua pekerja.

Pada tahun 1997, Institute of Economic Affairs, sebuah badan pemikir di London, menerbitkan satu edisi khas jurnal ilmiah untuk membicarakan kesan gaji minimum. Mereka mendapati bahawa gaji minimum mungkin tidak memberi kesan negatif kepada negara sewaktu ekonomi sedang berkembang.

Tetapi, tatkala ekonomi negara menghadapi masalah, gaji minimum akan menyebabkan masalah ekonomi tersebut menjadi lebih teruk kerana ia menyumbang kepada peningkatan kadar pengangguran. Syarikat-syarikat dihalang oleh undang-undang daripada mengambil pekerja baru atau menurunkan gaji walaupun para pekerja itu sendiri sanggup menerima gaji lebih rendah demi mengekalkan pekerjaan mereka. Maka akibatnya proses pembaikan kedudukan ekonomi negara dan pengurangan kadar pengangguran akan menjadi perlahan.

Presiden Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia, Datuk Shaheen Mirza Habib mengatakan bahawa jika langkah ini diteruskan, maka mungkin 300 syarikat keselamatan terpaksa gulung tikar. Ini akan menyebabkan 60,000 orang pengawal keselamatan tempatan hilang pekerjaan. Inilah akibat yang tidak dijangka daripada tindakan memperkenalkan gaji minimum, walaupun niat asal gaji minimum adalah baik.

Saya akui para pengawal keselamatan memang menerima gaji yang rendah. Bapa saudara saya bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah syarikat kecil berdekatan Kuala Pilah. Pak Andak saya mengayuh basikal tua setiap hari untuk pergi bekerja demi menyara keluarga. Kehidupan beliau memang susah dan beliau baru kematian isteri bulan lepas. Siapa yang mahu menyara keluarga beliau jika gaji minimum itu menyebabkan dia kehilangan kerja?

Saya akui saya agak emosi dalam hal ini disebabkan memikirkan kesusahan hidup Pak Andak saya dan juga pengalaman peribadi saya sendiri. Tetapi saya bukan bercakap dari segi teori sahaja. Saya pernah menjadi mangsa kezaliman gaji minimum dan saya tidak mahu orang lain ditimpa nasib yang sama.

Saya tidak pasti adakah mereka yang menuntut gaji minimum di Malaysia pernah atau tidak bekerja sebagai buruh kasar, apatah lagi sebagai pembersih tandas, lalu dibuang kerja seperti saya. Atau adakah mereka hanya berkempen daripada keempukan kerusi mahal di pejabat masing-masing sahaja?

Gaji minimum ialah satu dasar yang merbahaya kepada golongan berpendapatan rendah. Demi kebajikan rakyat miskin, saya harap gaji minimum tidak diperkenalkan, KECUALI UNTUK PEKERJA-PEKERJA ASING, yang mana ianya perlu untuk mengelakkan kebanjiran pekerja-pekerja asing dan tiaanya peluang kerja untuk rakyat tempatan!